Hajiji bersama presiden dan pemimpin parti komponen GRS pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS.
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mampu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hasil kesatuan, kesiapsiagaan dan semangat juang jentera parti di semua peringkat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, pelancaran jentera GRS menjadi medan penting untuk memperkukuh strategi serta semangat seluruh anggota menjelang PRN yang dijangka berlangsung bulan depan.
“Jika kita memiliki jentera yang efisien, terlatih dan bersatu hati, insya-Allah GRS akan mencatat kemenangan dalam PRN Sabah ke-17,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau mengingatkan jentera parti agar tidak leka, sebaliknya terus bekerja keras memastikan kemenangan besar bagi mengekalkan Sabah di bawah pentadbiran kerajaan yang stabil dan berwibawa.
“Kita mesti semarakkan semangat juang dan memperkukuh kesatuan. Dengan semangat yang padu dan kesatuan yang kukuh, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat perjuangan kita,” tegasnya.
Hajiji berkata, walaupun dua parti memilih keluar daripada gabungan menjelang pilihan raya, kekuatan dan perpaduan GRS kekal utuh kerana perjuangan ini berasaskan keikhlasan serta persahabatan tulen demi masa depan Sabah.
“Peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ telah mengajar kita sesuatu yang amat berharga — rumah kita sudah diuji, dan rumah kita tidak tumbang. Rumah kita, kita jaga; rumah kita, rumah Gabungan Rakyat Sabah!” katanya.
Beliau berkata, GRS adalah cerminan kerjasama tulen parti-parti tempatan terbesar di Sabah, dan tiada gabungan lain yang mampu menandingi kekuatan itu.
“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti-parti lokal dengan matlamat memperjuangkan hak orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia. Sebab itu penting untuk kita pastikan GRS bukan sahaja menang, tetapi menang dengan penuh bergaya!” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa PRN kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi pertarungan untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sabah.
“Kemenangan GRS akan memberi kita suara lebih besar dalam memperjuangkan hak negeri serta memastikan dasar pembangunan sedia ada diteruskan. Jika gagal, rakyat dan negeri ini akan rugi,” katanya.
Beliau turut menggesa jentera GRS di semua peringkat supaya menguasai medan media sosial bagi menangkis fitnah dan menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat.
“Pembangkang menabur fitnah dan propaganda di media sosial. Jika mereka menyerang dengan kebohongan, kita mesti menyerang balik dengan kebenaran dan fakta,” katanya.
Menurutnya, setiap ahli perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat, berhemah dan berfakta bagi menangkis tohmahan pihak lawan.
“Jangan biarkan Sabah kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, tiada hala tuju jelas dan hanya berpolitik atas dasar dendam serta kepentingan peribadi.
“PRN ke-17 kali ini bukan sekadar pertempuran di lapangan, tetapi juga di ruang maya. Medan media sosial menjadi gelanggang utama membentuk persepsi rakyat. Kemenangan GRS banyak bergantung kepada sejauh mana kita mampu menguasai ruang ini dengan mesej yang jelas, pantas dan berkesan,” tegasnya.
Hajiji berkata, jika seluruh jentera GRS bersatu, tangkas dan kreatif menggunakan media sosial sebagai alat komunikasi utama, maka tiada propaganda pembangkang yang mampu menggugat keyakinan rakyat terhadap GRS.
Beliau menegaskan semangat juang GRS tidak akan luntur biarpun berdepan cabaran getir.
“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi. Rumah kita, kita yang jaga – kalau bukan kita, siapa lagi?” katanya..