KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyeru usahawan di negeri ini supaya lebih berani mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai peluang pembiayaan dan program bimbingan yang disediakan oleh kementeriannya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya usahawan di negeri ini beralih daripada skala kecil dan mikro kepada perniagaan yang lebih besar serta berdaya saing, seiring dengan potensi besar Sabah dalam sektor keterjaminan makanan dan pelancongan.
“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah terus berkembang maju daripada usahawan berskala kecil kepada usahawan yang tersenarai dalam Bursa Saham.
“Di bawah Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara yang saya perkenalkan, banyak inisistif khusus untuk Sabah dan Sarawak, antaranya Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus) dengan menambah dua skop baharu iaitu penyewaan premis dan perolehan bahan mentah.
“Oleh itu, kita adakan seminar penghujung tahun ini supaya usahawan dapat bersedia dan memohon awal pembiayaan dan geran-geran yang disediakan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga, anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di Le Meridien, di sini, hari ini.
Ewon berkata, keperluan memberi tumpuan khas kepada Sabah memandangkan kedudukannya yang strategik bersempadan dengan Kalimantan Indonesia, Brunei dan Filipina, menjadikan negeri ini berpotensi sebagai hab perdagangan serantau.
Kementerian juga, katanya, akan terus menggalakkan koperasi di Sabah sama ada koperasi keluarga atau komuniti untuk menceburi bidang pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan.
“KUSKOP sedia membantu sama ada melalui gerakan koperasi atau syarikat komersial, bergantung kepada keperluan usahawan masing-masing,” katanya.
Mengenai peranan INSKEN, Ewon berkata, penubuhan pejabat INSKEN di Sabah dan Sarawak pada tahun 2023 berjaya mendekatkan program bimbingan keusahawanan kepada usahawan tempatan.
“Sabah merupakan negeri dengan penyertaan tertinggi dalam program bimbingan INSKEN pada tahun 2024. Ini menunjukkan kesungguhan usahawan kita untuk belajar dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan Business Counsellor dan tenaga pengajar daripada kalangan pemain industri juga telah membantu meningkatkan keberkesanan program bimbingan yang dijalankan di kedua-dua negeri tersebut.
Seminar itu bertujuan memperkasa perniagaan keluarga dari segi tadbir urus, pewarisan dan pengembangan syarikat generasi baharu.