Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Kelab Komuniti Sayang Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri, yang disifatkan sebagai kemenangan besar buat rakyat Sabah dalam perjuangan menuntut hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Presidennya, Steve Johnny Mositun berkata, keputusan itu bukan sekadar kejayaan di mahkamah, tetapi lambang perjuangan panjang rakyat Sabah yang sekian lama memperjuangkan hak dan maruah negeri.
“Terima kasih kepada Sabah Law Society (SLS) kerana membawa suara rakyat Sabah ke gelanggang keadilan. Keputusan Mahkamah ini amat bermakna dan telah lama dinantikan rakyat Sabah. Ini bukan soal siapa menang atau kalah, tetapi tentang menghormati semangat MA63 yang menjadi asas pembentukan negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa fokus utama selepas keputusan bersejarah itu ialah memastikan pelaksanaan sebenar terhadap janji-janji yang telah termaktub dalam perjanjian tersebut.
“Soal pembayaran tertunggak boleh dibincangkan secara adil dan berhemah. Namun yang lebih penting, mulai tahun 2026, pembayaran balik 40 peratus hasil negeri Sabah perlu dilaksanakan demi keadilan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” ujarnya.
Steve turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan Mahkamah Tinggi itu dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik.
“Kepada generasi muda Sabah, inilah masanya untuk kita terus bersuara dan mempertahankan hak negeri tercinta. Kemenangan ini membuktikan bahawa perjuangan berlandaskan undang-undang serta perpaduan rakyat mampu mengubah sejarah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi ini juga harus menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih seimbang antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan demi masa depan negeri yang makmur, bermaruah dan berdaulat dalam Malaysia.