Para pelari pertama membawa baton dengan bertenaga untuk diserahkan kepada pelari seterusnya.
TAWAU: Tiga Rekod baharu berjaya dicipta dari cabang olahraga menerusi acara lari hari keempat SAGA XI.
Rekod baharu pertama tercipta pada sesi pagi dari acara 400 meter (m) Lari Berpagar Lelaki apabila pelari Sandakan, Dexter Palmin mencatat masa terpantas 55.00 saat (s) meleburkan rekod lama 55.22s milik pelari Kota Marudu, Deaigo Emanuell Wayring dalam SAGA IX.
Pingat perak dimenangi oleh Alvinsyah Ziqkryzam Paul (Lahad Datu) dengan catatan masa 55.30s, 27 saat meninggalkan pelari Kota Kinabalu, Muhammad Nurmansyah Nurdin dengan catatan 55.57s membawa pulang gangsa.
Dua lagi rekod baharu ditampilkan pada sebelah petang melalui acara 800m Wanita dan 4x100m Lelaki.
Acara 800m Wanita menyaksikan atlet yang mewakili Kota Belud, Nur Syifa Raisya Adnan Firdaus mencatatkan masa 2.23s berjaya memecahkan rekod sebelum ini yang dilakukan oleh Hizillawanty Jamain (Keningau) dengan 2.24s.
Pemenang pingat perak pula, menjadi milik Sharlene Fioney Sonny menerusi catatan 2.29s manakala, Angeline Fet Yung dari Ranau terpaksa berpuas hati pulang dengan pingat gangsa setelah mencatatkan masa 2.33s.
Acara tumpuan, 4×100 Meter Lelaki turut berjaya mencatatkan rekod baru apabila kuartet pelari Sandakan, Alif Zulmizan Mohd Aliawal, Mukhriz Ameer Izzuddin, Muhammad Fareez Adam dan Pengiran Aidil Auf unggul mencatatkan masa 41.42s berbanding rekod sebelum ini 41.83s yang mereka dilakukan dalam peringkat saringan.
Sementara itu kuartet Tambunan mendapat perak apabila mencatatkan masa 41.98s meninggalkan pelari-pelari Kalabakan yang hanya mencatatkan masa 42.25s meskipun turut diperkuat pemenang acara 100 meter Airiel Amani Kahar dan meraih gangsa.


































