Atlet dari Tawau mara ke peringkat akhir.
TAWAU: Seramai 28 peserta layak ke peringkat akhir acara Muay Thai sempena Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 di Dewan SJK(C) Yuk Chin.
Bagi kategori lelaki (combat sport), sebanyak sembilan kategori dipertandingkan melibatkan 18 peserta yang layak ke peringkat akhir iaitu 14–20 Male 42–45kg, 45–48kg, 48–51kg, 51–54kg, 54–57kg, 57–60kg, 60–63.5kg, 63.5–67kg dan 67–71kg.
Antaranya, Kerry Dryan Jafli (Tuaran), Mohammad Syahrizan Rizal (Tawau), Yong Feng Yue Sammy (Ranau), Evan Arron Warren (Papar) dan Andy John (Sipitang).
Sementara itu, bagi kategori wanita, seramai 10 peserta mara ke peringkat akhir yang melibatkan lima kategori — 14–20 Female 42–45kg, 45–48kg, 48–51kg, 51–54kg dan 54–57kg.
Antara peserta ke peringkat akhir ialah Krystel Angel Jafili (Tuaran), Nur Ameera Shaqil (Penampang), Stacy Phoong Chun Ann (Kota Marudu), Bethanny Lai Yun Yunn (Kota Kinabalu) dan Rozana Laila Rammy (Kota Marudu).
Pertandingan akhir dijadual berlangsung Khamis ini dengan para peserta bakal berentap bagi merebut pingat emas yang dipertandingkan.
Ketua Delegat Teknikal Muay Thai, Readwan Matin berkata, edisi kali ini terdapat peningkatan penyertaan berbanding SAGA sebelum ini, dengan penglibatan 19 daerah serta keseluruhan 234 atlet bertanding dalam 18 kategori.
“Tahun ini kita melihat ramai atlet berpotensi dan kemunculan bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan. Atlet wanita juga menunjukkan prestasi yang membanggakan sepanjang kejohanan,” katanya ketika ditemui media, pada Rabu.
Menurutnya, beliau berharap semua atlet yang berjaya ke peringkat akhir dapat beraksi dengan semangat kesukanan tinggi serta bersedia dari segi fizikal dan mental bagi mencapai kejayaan terbaik buat daerah masing-masing.