Wilfred Madius Tangau
TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyatakan sokongan terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pelaksanaan undi pos bagi warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung Malaysia.
Madius berkata, seruan ini bukan kali pertama tetapi telah banyak kali diajukan oleh pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Bersih.
“Bagi saya langkah ini wajar dilaksanakan bagi memastikan rakyat Sabah yang berada di luar negeri asal tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab dan hak demokrasi.
“Ramai warga Sabah di Semenanjung menghadapi kesukaran untuk pulang ke kampung semasa pilihan raya disebabkan kesukaran mendapatkan penerbangan, tambang penerbangan yang tinggi, selain kesukaran mendapatkan cuti dan kekangan masa.
“Cadangan undi pos ini dapat membantu mereka menunaikan kewajipan terhadap negara tanpa menanggung beban yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, usaha memperluas akses kepada undi pos adalah langkah ke arah memperkukuh amalan demokrasi dan penyertaan rakyat dalam proses pilihan raya.
“Kita perlu memastikan hak mengundi dapat dinikmati oleh semua warganegara tanpa mengira lokasi mereka berada.
“Sistem undi pos yang telus dan selamat akan membolehkan lebih ramai rakyat Sabah mengambil bahagian dalam proses demokrasi,” katanya.
Menurut Madius, cadangan berkenaan seiring dengan prinsip keadilan dan keterangkuman yang menjadi asas kepada sistem pilihan raya di negara ini, justeru wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dan SPR.
Lee sebelum ini dilaporkan menyeru SPR membenarkan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung mengundi secara pos sekiranya Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan, bagi memastikan hak demokrasi mereka tidak dinafikan akibat kekangan jarak dan kos.
Madius turut menggesa supaya SPR dan kerajaan negeri meneliti keperluan undang-undang serta mekanisme pelaksanaan undi pos dengan segera, termasuk memperkenalkan sistem pengundian awal dan saluran maklumat kepada pengundi Sabah di luar negeri.