SK Sumbiling Bongawan kini Sekolah Angkat Madani MKN, Jabatan Perdana Menteri.
PAPAR: Program Sekolah Angkat Madani yang diperkenalkan kerajaan terus memberi manfaat besar kepada sekolah-sekolah luar bandar di seluruh negara termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sumbiling Bongawan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata program berkenaan bertujuan membantu menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara agar murid dan guru dapat menikmati kemudahan lebih baik tanpa perlu melalui proses birokrasi yang rumit.
“Pelaksanaan program Sekolah Angkat Madani dengan had maksimum RM100,000 bagi satu sekolah akan dijadikan penanda aras untuk semua agensi kerajaan melaksanakan pendekatan berbeza agar dapat memanfaatkan warga sekolah dan meningkatkan kualiti penyampaian kerajaan.
“Objektif utama program ini adalah untuk membantu menaik taraf sekolah-sekolah khususnya sekolah daif dengan cara yang cepat. Jadi penyaluran pun diberikan sebanyak RM100,000 terus kepada sekolah-sekolah yang terbaik yang telah dikenal pasti oleh ketua-ketua setiausaha dan ketua-ketua agensi kerajaan.
“Dengan cara ini, kita rakyat khususnya cikgu-cikgu dan murid-murid dapat menikmati faedah secepat mungkin tanpa melalui proses yang rumit seperti dulu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani MKN, Jabatan Perdana Menteri di SK Sumbiling Bongawan dekat sini, pada Selasa.
Mengiringi beliau, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Datuk Yahya Sulaiman, wakil Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Ahmad Firdaus Lee Abdullah, wakil Pengarah Penerangan Sabah Suhaili Awang, Guru Besar SK Sumbiling Asney Jais dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Sumbiling Rayner Jimbulat.
Mengenai peruntukan RM100,000 Nushirwan menjelaskan, peruntukan terbabit diagihkan secara sama rata bukan sahaja melibatkan agensi kerajaan, malah turut disertai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan memberi kesan segera kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.
“Dalam konteks MKN, saya telah meminta agar satu sekolah daif di Sabah dikenal pasti dan saya berterima kasih kepada Datuk Yahya, Pengarah Keselamatan Negeri Sabah yang telah membantu mengenal pasti sekolah ini.
“Bagi SK Sumbiling, skop program ini ditumpukan khusus kepada penambahbaikan fasiliti sekolah yang uzur serta penggantian kerusi dan meja guru dengan hasrat untuk meningkatkan keselesaan serta motivasi murid dan barisan para pendidik,” ujarnya.
Beliau turut berpuas hati dengan komitmen kerjasama pengurusan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Daerah, PIBG serta kontraktor dilantik yang berjaya menyiapkan sepenuhnya projek dirancang dua minggu lebih awal dari tarikh asal.
Nushirwan turut menyatakan harapan agar murid-murid yang menerima manfaat daripada program itu terus berusaha gigih dalam pelajaran dan menjadi aset berharga kepada negara.
“Harapan saya agar anak-anak murid belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat masa depan yang lebih baik dan seterusnya membantu keluarga serta kampung halaman mereka,” tambah beliau.
Sementara itu, Guru Besar SK Sumbiling Bongawan, Asney Jais memaklumkan menerusi program tersebut beberapa kelengkapan sekolah telah ditambah baik antaranya, dua blok bilik darjah, penggantian pintu, kipas, lampu, papan putih bilik darjah, meja dan kerusi.
“Pelaksanaan program ini memberi semangat baharu kepada murid-murid dan guru. Bangunan yang diperbaharui memberi suasana pembelajaran yang lebih positif serta meningkatkan motivasi warga sekolah.
“Dengan kerjasama dengan MKN ini, saya harap sekolah ini mendapat manfaat yang berterusan demi kecemerlangan murid-murid serta warga sekolah,” dedah beliau.
SK Sumbiling yang terletak kira-kira 63.2km dari Kota Kinabalu, mempunyai 172 murid dan dikategorikan sebagai sekolah gred A dalam kawasan luar bandar di bawah Pejabat Pendidikan Beaufort.