Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan semula komitmennya terhadap kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan parti tempatan, dengan menyifatkan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai platform paling berwibawa dan berkesan untuk kemajuan berterusan negeri ini.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, parti itu kekal teguh dengan keyakinan bahawa hanya melalui kestabilan dan kerjasama, Sabah mampu mencapai pertumbuhan mampan serta mempertahankan autonominya dalam Persekutuan Malaysia.
“Di tengah-tengah perubahan penjajaran politik, PBS tetap berpendirian bahawa GRS ialah platform yang tepat untuk rakyat Sabah bersatu di bawahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, Kerajaan yang dipimpin GRS telah mencatatkan pencapaian nyata — termasuk pengurusan fiskal yang lebih kukuh serta kemajuan lebih pantas dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Melalui kerjasama konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), Sabah telah menerima ruang fiskal yang lebih luas, peruntukan bajet yang lebih besar serta perhatian luar biasa terhadap keperluan pembangunan negeri. Kadar pelaksanaan MA63 kini jauh lebih baik dan cepat berbanding pentadbiran terdahulu,” jelasnya.
Dr. Joachim berkata, kestabilan di bawah GRS telah membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada keutamaan utama seperti pembangunan ekonomi, peningkatan hasil negeri serta pengukuhan rizab kewangan bagi manfaat generasi akan datang.
“Kerjasama kita dengan Kerajaan Persekutuan bukan bersifat kebergantungan, sebaliknya berasaskan rasa hormat dan perkongsian yang saling melengkapi. Tiada campur tangan dalam urusan Sabah; sebaliknya, apa yang kita bina ialah hubungan sihat yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan autonomi negeri,” tegasnya.
Sebagai parti tempatan tertua di Sabah, beliau berkata, PBS telah melalui pelbagai fasa politik — menempuh kesukaran, meraikan kejayaan dan mempelajari pelbagai pengalaman yang memperkukuh komitmen parti terhadap rakyat.
“Kami belajar bahawa konfrontasi keras tidak akan membawa kemajuan. Apa yang akan mengangkat Sabah ke tahap lebih tinggi ialah rundingan matang, dialog profesional dan kerjasama ikhlas antara semua pihak yang benar-benar menyayangi negeri ini,” ujarnya.
Dr. Joachim turut menyeru semua rakyat Sabah dan penyokong PBS agar terus bersatu dan menyokong Kerajaan GRS yang telah “membuktikan keikhlasan serta keberkesanannya.”
“Bersama-sama, kita boleh memberikan mandat yang kukuh dan meyakinkan kepada GRS dalam pilihan raya negeri akan datang agar visi Sabah yang makmur, bermaruah dan berdikari dapat terus diperkukuh,” katanya.