Redonah dan Jamaliah bersama jentera G10 Wanita Gagasan Rakyat Sulaman di Tuaran, semalam.
TUARAN: Wanita Gagasan Rakyat Sabah bertekad memperkukuh jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dengan semangat perjuangan yang tersusun dan berstrategi, kata Ketua Wanitanya, Datuk Redonah Bahanda.
Beliau menegaskan bahawa peranan wanita bukan sahaja sebagai pelaksana di lapangan, tetapi juga sebagai penyampai aspirasi kerajaan kepada rakyat di seluruh pelosok negeri.
“Wanita adalah tulang belakang kekuatan parti. Kita bukan sekadar menyokong dari belakang, tetapi berdiri sebaris dalam perjuangan memastikan kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang telah membuktikan kemampuan membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah,” tegas Redonah.
Beliau berkata demikian semasa Taklimat Gerak Kerja Jentera Wanita PGRS PRN17 Sabah DUN Sulaman yang diadakan di Dewan Utama Bangunan Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, di sini, semalam. Program itu menghimpunkan jentera wanita daripada tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Sulaman.
Turut hadir, Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh; Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman merangkap Bendahari Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Jamaliah Antalip; Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman, Noorziah Mastan; Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din; Setiausaha Kerja Wanita Gagasan Rakyat, Azizah Atoh; serta jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Sulaman dan jentera Wanita G10 Sulaman.
Redonah turut memaklumkan bahawa 74 bahagian Wanita Gagasan Rakyat telah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah selepas PRN17 nanti.
“Kita bersatu di bawah panji perjuangan yang sama dan memastikan kepimpinan Datuk Seri Hajiji terus menerajui Sabah. Kita mahu kesinambungan ini demi kestabilan, kemajuan dan masa depan rakyat yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, setiap jentera wanita mesti bersiap siaga sepenuhnya dengan struktur G10 yang mantap agar gerak kerja dapat dijalankan dengan lebih tersusun, fokus dan berstrategi.
“Gerak kerja wanita perlu dilaksanakan secara berfokus dan meyakinkan supaya setiap pengundi dapat didekati dengan mesej perjuangan yang jelas. Ini masa untuk kita buktikan bahawa wanita Gagasan mampu menjadi barisan hadapan kemenangan GRS,” ujarnya.
Redonah menegaskan bahawa DUN Sulaman merupakan nadi politik kepimpinan Hajiji, dan kemenangan di kawasan itu akan menjadi simbol keutuhan sokongan rakyat terhadap beliau.
“DUN Sulaman bukan sekadar kawasan pilihan raya, tetapi simbol kekuatan perjuangan Gagasan Rakyat dan GRS. Kejayaan mempertahankan Sulaman akan menjadi tanda jelas bahawa rakyat masih menaruh keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji untuk terus memacu kemajuan dan kesejahteraan negeri Sabah,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua jentera wanita memperkukuh perpaduan dan terus turun padang mendekati rakyat dengan mesej perjuangan GRS yang berasaskan kestabilan dan kesejahteraan.
“Wanita Gagasan adalah benteng semangat dan kekuatan parti. Dari DUN Sulaman, kita gerakkan gelombang kemenangan untuk seluruh Sabah,” katanya.