KOTA KINABALU: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor semalam merupakan peluang terbaik untuk rakyat memperkukuh mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, keputusan itu membuka ruang untuk memperkemas serta mempertajamkan jentera parti dalam usaha memastikan kesinambungan perjuangan membangunkan negeri melalui kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Ini masa untuk lebih memperkemas dan mempertajamkan jentera parti. Saya yakin rakyat di kawasan masing-masing mampu menilai prestasi GRS sepanjang memegang tampuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aksyah Haji Nasrah
Aksyah menegaskan, perjalanan merealisasikan Wawasan Sabah Maju Jaya tidak boleh terhenti hanya kerana pembubaran DUN, sebaliknya perlu diteruskan dengan sokongan padu rakyat.
“Laluan Hala Tuju SMJ 2.0 sudah terbentang luas untuk rakyat terokai dan nikmati. Justeru, mandat baharu kepada GRS adalah kunci untuk memastikan kesinambungan agenda pembangunan itu sampai ke akar umbi,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap undi kepada GRS membawa makna besar dalam mempertahankan maruah rakyat Sabah daripada sebarang bentuk penindasan politik yang hanya menguntungkan kelompok tertentu.
“Mandat kepada GRS bermakna martabat dan maruah rakyat Sabah dapat dipertahankan daripada dijajah, dijarah dan dicipta hanya untuk kroni serta sebilangan suku bangsa.
“Setiap undi pada GRS adalah lambang kebijaksanaan rakyat Sabah untuk menjadi rakyat berdaulat, bermaruah dan dihormati kerana mengangkat serta memperkasa parti tempatan sebagai tonggak utama kerajaan Sabah,” katanya.
Aksyah juga menyeru seluruh jentera dan penyokong GRS agar bersatu padu menghadapi pilihan raya negeri akan datang dengan penuh semangat dan tekad.
“Selamat berjuang,” ujarnya