Nizam Abu Bakar Titingan
TAWAU: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menandakan bermulanya satu lagi fasa penting dalam perjalanan demokrasi negeri, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, dengan pengumuman rasmi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang diperkenan oleh Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman, rakyat kini sekali lagi diberikan peluang untuk menentukan hala tuju masa depan Sabah.
Menurutnya, sepanjang penggal lalu, kerajaan di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan penuh tanggungjawab, kestabilan dan keprihatinan terhadap rakyat.
“Kerajaan GRS telah meletakkan asas kukuh melalui pelaksanaan Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan kepada pembangunan seimbang antara kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, di bawah kepimpinan GRS, Sabah menyaksikan pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan merancakkan ekonomi negeri.
Beliau turut menekankan bahawa pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan dilaksanakan bagi memastikan manfaat pembangunan dirasai semua lapisan masyarakat.
“Antaranya ialah pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, peningkatan kemudahan asas di luar bandar serta penambahbaikan dalam sektor pendidikan dan kesihatan,” ujarnya.
Tambah beliau, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga berjaya memastikan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan jangka panjang Sabah.
Dengan tamatnya penggal pentadbiran semasa, Nizam menyeru rakyat agar terus memberi mandat kukuh kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.
“Hanya dengan kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, kita dapat memastikan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.
Beliau menyeru rakyat untuk bersatu di bawah gagasan yang membawa kestabilan dan kemajuan.
































