Cyril P. Yansalang
TAMBUNAN: Pengerusi Pertama (Pengasas) Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Cyril P. Yansalang mendakwa tindakan pengurusan tertinggi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menganjurkan sesi libat urus bersama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) merupakan satu bentuk penghinaan terhadap mahkamah.
Menurut beliau, langkah yang diterajui Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin dan Ketua Pentadbir, Mohd Faizal Mohd Jakir itu jelas bercanggah dengan proses kehakiman yang sedang berlangsung.
Kes berkenaan membabitkan penggantungan perlembagaan NAFAS yang kini dalam semakan kehakiman serta dijadual dibicarakan pada 21 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kes itu difailkan oleh pemimpin peladang yang juga pemegang saham (pemegang taruh).
“Mereka cuba melaksanakan NAFAS 2.0 kononnya bagi transformasi, pemerkasaan dan keberdayasaingan. Namun, semua ini dilakukan ketika perlembagaan NAFAS masih digantung hampir setahun, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesahihan segala tindakan pengurusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cyril menjelaskan, sejak 1 November 2024 perlembagaan NAFAS telah digantung berikutan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan fungsi organisasi itu. Malah sebelum penggantungan, NAFAS telah diletakkan di bawah moratorium mulai 7 Februari 2024 yang dipantau Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan moratorium berkenaan tidak menunjukkan sebarang kesan positif terhadap hala tuju pertubuhan.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggantungan kali ini amat berbeza berbanding 1 Jun 2018.
“Pada 2018, fungsi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS digantung dan digantikan oleh LPP. Pengurusan juga diambil alih sepenuhnya oleh LPP. Tetapi sekarang, walaupun AJP tidak berfungsi, Pengurus Besar NAFAS masih kekal berkuasa penuh. Situasi ini luar biasa dan berbahaya kerana mereka bebas membuat pelbagai perubahan tadbir urus serta membelanjakan peruntukan kewangan tanpa semak dan imbang,” tegasnya.
Cyril berkata, apa yang cuba dilakukan pengurusan NAFAS menerusi sesi libat urus itu hanyalah memenuhi prasyarat seolah-olah mendapat mandat pemegang saham bagi menghalalkan perubahan peraturan serta tatakelola.
“Perlu di ingat pemegang taruh (pemegang saham) dalam PP adalah pemimpin (AJP) dan ahli peladang. Bukan pengurus besar kerana untuk menjadi pengurus besar biasa nya ia nya adalah kakitangan LPP di tempat kan di PPN dan tidak ada membeli saham dalam PP. Nanti libas urus di hadiri oleh pengurus besar di anggap mewakili PP. Itu pun tidak benar. Ada perbezaan.
“Hakikatnya, ia hanya komunikasi sehala. Ahli peladang tidak diberi ruang berbahas, mengundi atau menyatakan pandangan. Lebih malang, sesi seperti ini boleh dimanipulasi untuk menunjukkan kononnya semua peladang bersetuju dengan perubahan yang mereka mahu laksanakan,” katanya.
Beliau menegaskan, platform yang sah untuk membincangkan sebarang pindaan perlembagaan, peraturan atau kaedah pengurusan NAFAS hanyalah Mesyuarat Agung.
“Mesyuarat Agung adalah medan rasmi dan berekod. Hanya di situlah pindaan boleh dibuat secara sah mengikut peraturan dan undang-undang,” jelasnya.
Cyril turut melahirkan kebimbangan bahawa jika sesi libat urus diteruskan, kepentingan ahli peladang dan pemegang saham akan diketepikan.
Beliau menegaskan, tindakan itu jelas tidak adil kerana tiada pemantauan pihak ketiga yang berautoriti untuk mengesahkan sama ada peladang benar-benar bersetuju dengan sebarang perubahan.
“Ini tindakan berat sebelah, tidak adil dan tidak wajar. Ahli peladang berisiko diperdaya dengan persepsi seolah-olah mereka sudah bersetuju, sedangkan ia hanya keputusan sepihak pengurusan,” katanya.
Berdasarkan surat jemputan dikeluarkan NAFAS bertarikh 3 Oktober 2025, sesi libat urus bersama Pemegang Taruh Zon Borneo dijadualkan pada 9 Oktober ini di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching, Sarawak.
Dalam masa sama, LPP melalui Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Nik Mohd. Shaharil Nik Md. Hashim turut menggerakkan sesi libat urus bersama kepimpinan peladang di semua peringkat atas alasan penambahbaikan perundangan Pertubuhan Peladang.
Menurut Cyril, kelihatan seolah-olah NAFAS dan LPP berlumba-lumba mengadakan sesi libat urus dalam tempoh yang hampir serentak, menimbulkan persoalan sama ada wujud agenda tersembunyi yang mahu dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, lebih mengelirukan apabila surat panggilan sesi itu wujud dalam dua versi berbeza, namun menggunakan nombor rujukan dan tarikh yang sama.
“Ini menimbulkan keraguan sama ada panggilan sesi libat urus ini dibuat secara serius atau sebaliknya. Malah timbul kerisauan dalam kalangan pimpinan peladang jika surat ini palsu dan sengaja direka pihak tidak bertanggungjawab. Jika benar sekalipun, ia mencerminkan kelemahan profesionalisme LPP kerana tiada perancangan teliti, pendirian berubah-ubah dan protokol penyediaan dokumen yang sangat lemah,” katanya.
Dalam pada itu, Cyril menyeru semua PPN agar lebih prihatin terhadap situasi semasa NAFAS, serta menyarankan PPN yang mempunyai saham pelaburan tinggi supaya membuat laporan polis dan kepada pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri.
Katanya, NAFAS adalah hak dan milik peladang, bukan milik individu atau kelompok tertentu. Semua ahli peladang telah melaburkan wang mereka sejak awal penubuhan pertubuhan.
Cyril yang juga pemegang saham serta ahli peladang paling lama dalam PP turut mengingatkan pengurusan NAFAS agar tidak sesekali mengkhianati amanah.
“Jangan sesuka hati merosakkan NAFAS yang dimiliki peladang. Pertubuhan ini bukan milik keluarga atau jemaah tertentu. Ahli peladang dan pemegang saham adalah pemilik sebenar. Mereka ibarat tuan tanah yang kini melihat tanah mereka dirobek. Hari ini mereka mungkin berkuasa, tetapi suatu hari nanti apabila kuasa hilang, pelbagai risiko tindakan menanti akibat perbuatan curang sendiri. Banyak contoh di Malaysia, daripada pegawai rendah hinggalah bekas menteri dan perdana menteri, akhirnya boleh didakwa dan dipenjara. Ini sekadar peringatan daripada saya yang berpengalaman,” tegasnya.
Cyril turut mengingatkan kembali asas penubuhan pertubuhan itu. NAFAS ditubuhkan atas semangat peladang. Ia tidak boleh dijadikan medan percubaan oleh pengurusan yang mahu mengubah struktur sesuka hati. Segala perubahan mesti dibuat secara telus, sah dan berlandaskan mandat ahli peladang sendiri,” katanya.