Hajiji bersama ahli Majlis Tertinggi GRS.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Ia merupakan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan oleh Hajiji, yang juga Pengerusi gabungan berkenaan, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Sabah Progressive Party (SAPP) keluar daripada gabungan itu.
Antara yang hadir ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Rina Jainal; dan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin yang sebelum ini mengumumkan bahawa beliau bersama empat lagi wakil rakyat daripada partinya akan terus kekal bersama GRS walaupun parti itu menarik diri daripada gabungan berkenaan.