Hajiji (tengah) bersama Ellron (dua dari kanan), Abidin (kanan), Annuar (dua dari kiri) dan Ng.
KOTA KINABALU: Lima penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan komitmen mereka untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Mereka ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik @ Nordin (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).
Dalam kenyataan bersama hari ini, kelima-lima ADUN berkenaan berkata, keutamaan mereka ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui GRS.
“Sebagai ADUN daripada Parti STAR Sabah, kami kekal dengan pendirian untuk terus bersama GRS dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor,” kata mereka.
Mereka menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan asas penting bagi memastikan usaha pembangunan dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
“Pada pandangan kami, kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah pada masa ini. Oleh itu, kami berpegang teguh kepada mandat serta kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya.
Para ADUN itu turut menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti perlu dibuat dengan berhati-hati serta berpaksikan kepentingan rakyat dan negeri.
“Justeru, kami berdiri teguh untuk kekal bersama GRS dan mempertahankan kerusi kami di bawah lambang GRS sebagai tanda kesetiaan kepada mandat rakyat dan demi kestabilan Sabah,” kata mereka.