KENINGAU: Kejohanan Memanah Tradisional BMBR 2025 berlangsung dengan penuh semangat di Lapang Sasar Memanah Kemantrah, Kampung Rezab Lambanga, di sini, sempena BMBR Sports Carnival 2025.
Program anjuran Sekretariat BMBR dengan kerjasama Kelab Memanah Tradisional Kemantrah, Pejabat Wakil Rakyat N.40 Bingkor serta UPPM N.40 Bingkor itu menarik 95 peserta dari seluruh Sabah termasuk Tawau, Sandakan, Pitas, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Papar, Tambunan, Tenom dan Tuaran.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan tetapi wadah penting untuk mengekalkan warisan dan nilai tradisi sukan memanah di Sabah.
“Saya amat berbangga dengan sambutan luar biasa daripada komuniti memanah tradisional di seluruh negeri. Program seperti ini akan terus disokong dan diperluaskan bagi melahirkan lebih ramai pemanah berbakat dari peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan itu turut menjadi platform pengenalan kepada BMBR Sports Carnival, inisiatif menggabungkan pelbagai sukan rakyat dan aktiviti komuniti di bawah satu agenda pembangunan sukan di kawasan Bingkor.
Dengan sokongan masyarakat serta penyertaan meluas, Kejohanan Memanah Tradisional BMBR 2025 terus menyerlah sebagai acara penting dalam usaha memartabatkan sukan tradisional Sabah.