Minuman eksklusif itu menggunakan biji kopi Panamanian Geisha yang sangat jarang ditemui, ditanam di ladang terkenal Hacienda La Esmeralda, Panama
DUBAI: Sebuah kedai kopi di Dubai mencatat sejarah baharu apabila meraih gelaran Rekod Dunia Guinness bagi secawan kopi termahal di dunia dengan harga mencecah 2,500 dirham (RM2,861).
Menurut Utusan Malaysia, Roasters, rangkaian kedai kopi mewah dengan empat cawangan di Dubai dan 11 di seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE), diumumkan secara rasmi sebagai pemegang rekod dunia tersebut.
Rekod itu dicapai pada 13 September lalu di cawangan utama Roasters di Boulevard Downtown Dubai, apabila seorang pelanggan bertuah disajikan secawan kopi yang dibru menggunakan kaedah V60, dihidangkan dalam gelas kristal buatan tangan Edo Kiriko dari Jepun yang terkenal dengan corak artistiknya.
Minuman eksklusif itu menggunakan biji kopi Panamanian Geisha yang sangat jarang ditemui, ditanam di ladang terkenal Hacienda La Esmeralda, Panama. Hidangan turut disertakan dengan sepotong tiramisu dan ais krim coklat yang juga diperkaya dengan biji kopi Geisha yang sama.
Kejayaan ini hadir selepas Roasters mengejutkan industri kopi antarabangsa bulan lalu apabila membeli keseluruhan lot 20 kilogram biji kopi Geisha jenis washed dari Hacienda La Esmeralda pada harga AS$604,000 (RM2.5 juta) dalam acara lelongan Best of Panama 2025.
Dikenali dengan aroma bunga, buah-buahan serta nota citrus yang unik, biji kopi Geisha menjadi tarikan utama dalam acara pecah rekod berprestij itu.
Penyediaan kopi dilakukan secara eksklusif di meja pelanggan oleh barista khas menggunakan teko kawalan suhu dan penapis V60. Pelanggan misteri yang membayar 2,500 dirham itu turut menerima kad maklumat tentang kopi Geisha sebagai sebahagian daripada pengalaman premium.
Walaupun identiti pelanggan tidak didedahkan, Roasters mempromosikan acara ini sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Roasters, Konstantin Harbuz berkata, pengiktirafan Guinness itu adalah simbol dedikasi pasukan mereka dan mencerminkan reputasi Dubai yang semakin dikenali sebagai destinasi kopi mewah bertaraf dunia.