Mangsa pertama seorang wanita warga emas ditemukan pada jarak kira-kira 250 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut dibawa arus deras dalam kejadian di Tongod, Sabah semalam. – Ihsan JBPM Sabah
SANDAKAN: Seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas lemas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi ketika banjir dalam kejadian di Kampung Bangkulat Imbak Timbangan Evogold Sdn. Bhd., Tongod di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam semalam ketika kedua-dua mangsa berusia 79 dan tujuh tahun itu dipercayai cuba menyeberangi laluan jalan raya yang ditenggelami limpahan air akibat kepala air dari hulu sebelum mereka dihanyutkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 9.46 malam dan menggerakkan sepasukan lima anggota ke lokasi sejauh 169 kilometer dan tiba pukul 3.01 pagi tadi.
“Hasil pencarian awal berjaya menemukan mangsa pertama seorang wanita warga emas pada jarak kira-kira 250 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut.
“Mangsa kedua seorang kanak-kanak lelaki pula ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi penemuan mangsa pertama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kanak-kanak terbabit dipercayai cuba melintasi laluan yang ditenggelami arus deras bersama ibunya untuk ke kawasan selamat namun genggaman tangannya terlepas sebelum mangsa dihanyutkan.
“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Tiada operasi pemindahan dijalankan berikutan air sungai sudah surut dan operasi ditamatkan pukul 5 pagi,” jelasnya.




























