Sepasang pengantin baharu memfailkan cerai di India susulan haiwan peliharaan mereka saling ‘bergaduh’.
BHOPAL: Sebuah mahkamah keluarga di Bhopal, India menerima kes luar biasa apabila sepasang pengantin baharu memfailkan perceraian hanya kerana haiwan peliharaan mereka, seekor anjing dan seekor kucing tidak mampu hidup bersama.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan yang enggan dikenali itu pada mulanya berkenalan kerana minat sama terhadap haiwan, sebelum akhirnya berkahwin pada Disember 2024.
Namun, selepas tinggal serumah, konflik mula tercetus apabila si isteri mendakwa anjing milik suaminya kerap mengganggu dan menyerang kucingnya.
Suami pula mempertahankan anjingnya dengan mendakwa beliau sudah menegaskan sejak awal perkahwinan bahawa isterinya tidak boleh membawa haiwan peliharaannya ke rumah bersama.
Katanya, kucing isterinya turut menimbulkan masalah kerana sering ‘mengintai’ akuarium ikan mereka.
Kedua-dua pihak enggan berkompromi dengan si isteri enggan melepaskan kucingnya, manakala si suami tetap menyebelahi anjingnya.
Walaupun telah dirujuk beberapa kali kepada sesi kaunseling dan keluarga turut berusaha mendamaikan, pasangan ini akhirnya membuat keputusan untuk bercerai dengan alasan konflik yang tidak mampu diselesaikan.
“Bagi sesetengah individu, haiwan peliharaan bukan sekadar teman, malah dianggap lebih penting daripada hubungan sesama manusia,” kata kaunselor keluarga, Shail Awasthi.
“Apabila kedua-dua pasangan enggan bertolak ansur, rumah tangga boleh runtuh. Ini mencerminkan trend di mana sesetengah orang menganggap haiwan boleh menggantikan ikatan manusia,” katanya.