Ovum dilihat di bawah mikroskop selepas bahan genetik daripada sel kulit dimasukkan ke dalamnya.
WASHINGTON: Pasukan ssaintis di Amerika Syarikat (AS) berjaya menghasilkan embrio manusia peringkat awal dengan memanipulasi asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada sel kulit manusia sebelum disenyawakan dengan sperma.
Menurut Utusan Malaysia, teknik ini berpotensi mengatasi masalah ketidaksuburan akibat faktor usia atau penyakit dan berpotensi membolehkan pasangan sejenis mempunyai anak yang berkongsi hubungan genetik dengan mereka.
Pasukan penyelidik dari Universiti Sains dan Kesihatan Oregon menggunakan teknik mengambil nukleus yang menyimpan keseluruhan kod genetik diperlukan untuk membentuk tubuh daripada sel kulit.
Pengarah Pusat Terapi Sel dan Gen Embrionik Universiti Oregon, Prof. Shoukhrat Mitalipov berkata, nukleus itu kemudian dimasukkan ke dalam ovum penderma yang dilucutkan arahan genetik asalnya.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications itu menunjukkan sebanyak 82 ovum berfungsi berjaya dihasilkan.
Ovum tersebut kemudian disenyawakan dengan sperma dan sebahagiannya berkembang ke peringkat awal embrio namun, tiada satu pun yang dibiakkan melepasi tahap enam hari.
Setakat ini, kaedah tersebut menyerupai teknik yang digunakan untuk menghasilkan Dolly, seekor biri-biri mamalia klon pertama di dunia yang lahir pada tahun 1996.
“Kami berjaya melakukan sesuatu yang selama ini dianggap mustahil. Teknologi ini merupakan sebahagian daripada bidang yang semakin berkembang, iaitu menghasilkan sperma dan ovum di luar tubuh, dikenali sebagai gametogenesis in vitro ,” katanya.
Namun, kaedah ini memerlukan penambahbaikan ketara yang mungkin mengambil masa sedekad sebelum ia boleh dipertimbangkan untuk digunakan di klinik kesuburan.
Pakar menyifatkan pencapaian ini sebagai satu kejayaan mengagumkan, tetapi menegaskan perlunya perbincangan terbuka dengan orang ramai tentang kemungkinan yang sedang dibawa oleh sains.