Abdul Kassim mewakili Ketua Menteri menyampaikan ucapan.
TUARAN: Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) mempunyai peranan dan tanggung jawab yang sangat signifikan dalam konteks pendidikan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“PIBG bukan sahaja sebagai jambatan yang menghubungkan sekolah dengan ibu bapa, tetapi juga menyokong pembangunan sekolah.
“Malah, saya dimaklumkan lebih 80 PIBG di daerah ini bergerak aktif dan melakukan pelbagai program termasuklah membina dewan, surau dan gotong royong. Tahniah kepada semua PIBG,” katanya pada program PIBG Ke Arah Pendidikan Cemerlang di Dalit Bay Golf & Country Club di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Abdul Kassim Razali.
Beliau berkata, kerjasama erat antara semua pihak sekolah, PIBG, ibu bapa, dan komuniti amat penting demi kemajuan pendidikan anak-anak, sentiasa diberi keutamaan.
Malah, peranan PIBG sendiri sebenarnya amat luas termasuklah sebagai badan pemantau, pemudah cara, dan penyumbang kepada pembangunan sekolah termasuk dalam pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah, dan kesejahteraan murid, katanya.
“Menyedari kepentingan PIBG ini, maka Kerajaan Negeri bukan hanya memberi bantuan kepada pelajar malah turut diperluaskan kepada PIBG menerusi Bantuan Aktiviti PIBG Sekolah atau BAGUS – dengan bantuan sebanyak RM2,000 setiap sekolah.
“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat menggerakkan aktiviti yang telah dirancang dan dapat mengeratkan hubungan PIBG dengan sekolah,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong agenda dan transformasi pendidikan negara, termasuk usaha untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik, moral, dan sosial.
“Sebab itu dalam konteks Kerajaan Negeri pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan dilaksanakan demi manfaat anak-anak kita.
“Inilah bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu disamping memastikan akses pendidikan sampai kepada para pelajar, kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan negeri ini,” katanya.
Hajiji mengulangi bahawa sejak tahun 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan.
“Jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak muda.
“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan dan kerajaan negeri juga telah menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada tahun 2025 yang telah memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian,” katanya.
Menurut beliau, semua usaha ini adalah untuk memastikan anak-anak kita tidak tercicir daripada meneruskan pendidikan kerana faktor kewangan, lokasi dan infrastruktur.
“Justeru, besarlah harapan saya agar kita semua terus bersatu padu dan kekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Ini penting agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dibawa kepada rakyat dan negeri ini. Hanya dengan perpaduan dan kestabilan politik sahaja kita mampu membawa pembangunan di negeri ini,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran yang diketuai oleh Datuk George Teo An Lun dan barisan ahli jawatankuasanya atas inisiatif mengadakan program ini.