Kadzim (kiri) menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Tun Musa.
KOTA KINABALU: Datuk Seri Kadzim M. Yahya dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi tempoh lima tahun mulai 1 Oktober 2025.
Istiadat mengangkat sumpah oleh Kadzim itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman kira-kira jam 10.45 pagi Khamis.
Sejurus selepas itu, Kadzim menandatangani watikah pelantikan yang disaksikan oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Azizah Nawawi di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salah serta Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Hadir sama dalam istiadat tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, Pembantu Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam dan Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Kali pertama Kadzim dilantik sebagai Speaker DUN Sabah pada 1 Oktober 2020.
Kadzim merupakan graduan Diploma Pentadbiran Awam (UiTM) Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian dalam Bachelor of Law (LLB) Council for National Academic Awards (CNAA) di United Kingdom dan seterusnya Certificate Legal Practice (CLP) Malaysian Qualifying Board.
Karier beliau bermula sebagai Pegawai Kerja, Bahagian Latihan dan Kerjaya di Jabatan Ketua Menteri pada tahun 1981, diikuti Pembantu Undang-undang di Tetuan Ghani & Co. (1986 – 1987), kemudian bertugas sebagai Pegawai Undang-undang Ko-Nelayan (1987 – 1990), Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah (1991 – 2020) dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah (2008-2018.