KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengingatkan orang ramai khususnya majikan jangan terpedaya helah sindiket yang menyamar sebagai pegawai mereka dan menawarkan perkhidmatan ‘setel tepi’.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ada segelintir majikan dikesan termakan umpan dan membuat bayaran kononnya bagi melepaskan pekerja mereka yang ditahan.
Menurutnya, JIM Kuala Lumpur khususnya tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak dan setiap tangkapan akan melalui prosedur undang-undang yang sewajarnya.
Katanya, ada majikan yang terpedaya dan memasukkan wang, misalnya minggu lalu selepas satu operasi di Jalan Ipoh, ada cubaan menipu majikan dengan bayaran RM32,000.
“Tetapi kerana kebijaksanaan majikan terbabit membuat semakan terlebih dahulu, mereka berjaya menyelamatkan diri daripada ditipu.
“Ada juga kes sebelum ini, scammer meminta RM5,000 seorang bagi tiga orang tahanan, jumlah keseluruhan RM15,000,” katanya ketika ditemui dalm OP Gegar di sebuah pub di Sri Hartamas, di sini, awal pagi tadi.
Beliau berkata, modus operandi itu dikesan sejak beliau mula-mula mengambil alih jawatan sebagai Pengarah JIM Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
“Ada juga segelintir majikan yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan tipu daya sindiket terbabit lalu membuat pemindahan wang.
“Jadi saya ingatkan sekali lagi, hati-hati dan jangan percaya dengan tawaran kononnya pihak kedua boleh melepaskan tahanan tanpa prosedur undang-undang.
“Mereka menyamar sebagai pegawai, selepas berlakunya operasi, keesokan harinya atau dua hari selepas itu, ramai majikan dihubungi oleh pihak yang menyamar sebagai pegawai JIM,” ujarnya.
Katanya, mereka menjanjikan dengan bayaran tertentu, pekerja yang ditahan boleh dilepaskan.
“Operasi seperti ini akan konsisten dilaksanakan oleh pihak JIM Kuala Lumpur,” katanya.