KUANTAN: Pasukan bina badan Sabah melakar sejarah baharu apabila menamatkan Kejohanan Mr Malaysia Ke-54 dengan pencapaian terbaik sepanjang penyertaan negeri itu, apabila berada di kedudukan keempat keseluruhan.
Kontinjen Sabah yang dikendalikan Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa dalam kejohanan berprestij itu yang berlangsung dari 25 hingga 29 September di Kuantan, Pahang.
Tiga pingat emas Sabah disumbangkan oleh Mohd. Hakimi Abdullah (Master Bawah 70kg), Affan Affandy Sazali (Men’s Sport Physique Atas 170cm) dan Martin Magalai (Flyweight Atas 60kg).
Manakala pingat perak diraih Mohammad Asraf Hamza (Men’s Sport Physique Bawah 170cm), Tony Meldan Masabal (Light Flyweight 55kg Ke Atas) dan Allen Carlson Aloysious Sern (Middleweight 85kg).
Dua lagi pingat gangsa pula diperoleh menerusi Wandy Anjum (65kg Ke Atas) dan Grace Voo (Light Heavyweight 90kg).
Presiden SBBA, Clarence Runggi berkata, pencapaian itu amat membanggakan kerana kontinjen Sabah bukan sahaja mencapai sasaran awal dua pingat emas, malah melangkaui jangkaan dengan kutipan keseluruhan lapan pingat.
“Buat pertama kali dalam sejarah penyertaan, Sabah berjaya menempatkan diri di kedudukan keempat keseluruhan. Ini adalah pencapaian terbaik kita di pentas Mr Malaysia dan bukti bahawa Sabah kini semakin digeruni dalam arena bina badan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada atlet, jurulatih, pegawai serta sokongan padu daripada Majlis Sukan Negeri Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah yang sentiasa bersama pasukan.
Kejohanan Mr Malaysia merupakan pentas paling berprestij sukan bina badan tanah air, menghimpunkan jaguh-jaguh terbaik dari seluruh negara.
Dengan kejayaan ini, SBBA yakin ia menjadi pemangkin semangat untuk terus memperkasa pembangunan sukan bina badan di Sabah serta melahirkan lebih ramai juara pada masa hadapan.