Tunku Nashrul Abaidah
PETALING JAYA: Malaysia berpendirian bahawa menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu kemanusiaan yang sedang menimpa rakyat Palestin ketika ini.
Sebaliknya, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, di atas prinsip diplomasi menuntut Malaysia menyuarakan kebenaran secara berdepan bukannya mengelak.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, dengan cara itu, Malaysia bukan saja boleh menzahirkan solidariti kepada Gaza, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam diplomasi.
“Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah, ia jelas, tegas dan konsisten sejak dahulu. Perdana Menteri sendiri adalah antara suara paling lantang di dunia dalam membela Gaza, mengecam kekejaman Israel dan mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa.
“Bahkan pandangan tegas ini telah disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri di hadapan bekas Presiden AS sebelum ini. Namun, menolak kedatangan Trump ke ASEAN bukanlah jalan penyelesaian,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Oktober ini amat bersejarah kerana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memikul amanah besar untuk memastikan semua rakan dialog hadir ke meja rundingan.
Katanya, perlu diingat, kepengerusian ASEAN datang hanya sekali setiap dekad dan inilah kali terakhir Malaysia mengetuainya sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Filipina.
“Justeru, kita wajib menggunakan kesempatan ini untuk memimpin dengan sebaik mungkin, membawa suara ASEAN ke peringkat global.
“ASEAN bukan sekadar satu perkumpulan serantau, tetapi satu komuniti strategik yang berhubungan rapat dengan kuasa besar dunia melalui platform tetap seperti Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat, ASEAN–China, ASEAN–Jepun, ASEAN–Korea, ASEAN–Australia, ASEAN–GCC (Majlis Kerjasama Teluk), ASEAN–PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Sidang Kemuncak Asia Timur dan banyak lagi.
“Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta pemimpin-pemimpin dunia lain ke Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada mandat diplomasi yang diamanahkan kepada Malaysia. Ia bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin, tetapi suatu pengiktirafan kepada ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi,” katanya.
Pada masa sama, Tunku Nashrul berkata, Malaysia membawa suara ASEAN agar sidang kemuncak kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata, tetapi lebih kepada agenda bersama dalam memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan serta mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia.
Katanya, ASEAN mesti bersuara dengan satu nada, memanfaatkan peluang dengan semua rakan dialog bukan sahaja Amerika Syarikat, tetapi juga China, Jepun, Korea, Australia dan GCC.
“Inilah kepemimpinan yang Malaysia tawarkan iaitu kepemimpinan yang menegakkan prinsip keadilan sejagat, terus istiqamah membela Palestin dan pada masa sama memikul tanggungjawab besar sebagai pengerusi ASEAN untuk membina rantau yang makmur, stabil, dan sejahtera.
“Kerajaan Madani akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah, lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat dan bijaksana mengimbangi diplomasi global,” katanya.