MOF dan APAD akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan petrol bersubsidi untuk pemandu e-hailing.
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan petrol bersubsidi dengan pihak Penyedia Perkhidmatan E hailing (EHO) pada minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, MOF dalam kenyataan memaklumkan, ia bagi mengenal pasti pemandu e-hailing yang layak untuk tambahan petrol bersubsidi.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah and Sarawak layak untuk harga bersubsidi.
“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan Kerajaan Negeri berkenaan bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga bersubsidi BUDI95,” katanya hari ini.
Melalui pendekatan penyasaran subsidi, BUDI95 membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter mulai hari ini.
Di bawah BUDI95, katanya, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi tersebut dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Bagi permulaan, harga runcit RON95 akan kekal pada harga RM2.60 seliter untuk bulan Oktober 2025,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 30 September 2025 hingga 8 Oktober 2025, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter.
Harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter.
“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada paras RM2.93 seliter; dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.