Shahelmey dibawa melawat Loji Ekstraksi Fitonutrien.
KUNAK: Pembukaan Loji Ekstraksi Fitonutrien milik Kunak Lipids Sdn Bhd menandakan satu langkah penting dalam usaha memposisikan Sabah untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat dalam sektor oleokimia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, kemudahan itu bukan sahaja akan meningkatkan daya saing Sabah di peringkat global, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya di daerah Kunak dan kawasan sekitarnya.
“Loji ini membuktikan komitmen kukuh Kumpulan Sawit Kinabalu dalam mengembangkan serta mempelbagaikan operasi mereka melepasi pengeluaran komoditi mentah. Langkah ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh rantaian nilai industri sawit dan memastikan Sabah terus menjadi peneraju dalam sektor hiliran bernilai tinggi,” katanya pada majlis pelancaran loji itu hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Hajiji yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, turut memuji inisiatif syarikat itu menghasilkan tokotrienol tempatan di bawah jenama Sawit Kinabalu Tocotrienols (SKT3) yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Shahelmey diperlihatkan pelbagai produk keluaran Sawit.
“Ini membuktikan Sabah sedang berinovasi dalam memanfaatkan sumber sawit bagi menghasilkan produk berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia sejak sekian lama mengimport berjuta kilogram Vitamin E setiap tahun.
“Dengan tokotrienol kini dikeluarkan secara tempatan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan import, malah membuka peluang baharu dalam pasaran nutraseutikal serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia,” tambahnya.
Ketua Menteri berkata, pembangunan itu juga membuka peluang ekonomi kepada negara-negara pengeluar sawit untuk meningkatkan pengeluaran produk tambah nilai.
“Ia turut menekankan keperluan pengurusan dan penanaman sawit secara mampan bagi memastikan bekalan berterusan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat,” jelasnya.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus menyokong pelaburan yang memacu pembangunan industri hiliran sawit secara mampan dan inovatif.
“Saya yakin loji ini akan menjadi pemangkin utama kepada hasil negeri, menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat, serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab industri hiliran sawit di rantau ini,” katanya.