BEIJING: Seorang pemuda dari China mencetuskan kontroversi selepas meninggalkan gaya hidup elit untuk hidup sebagai gelandangan, bertahan dengan hanya 100 yuan (RM58.90) sebulan.
Dibesarkan di Shanghai sebelum berpindah ke New Zealand pada usia 10 tahun, Zhao Dian, 32, memperoleh dua ijazah sarjana muda dan tiga ijazah sarjana dalam bidang kewangan, dengan pengalaman belajar di Sydney, New York, Beijing serta Paris.
Menurut Utusan Malaysia, di sebalik kejayaan akademik itu, Zhao berkata tekanan berterusan daripada ibu bapa serta zaman kanak-kanak yang sukar membuatkan pendidikannya yang berprestij terasa seperti ‘dikongkong’.
Beliau menggambarkan hubungannya dengan ibu bapa sebagai renggang, termasuk hukuman keras daripada bapanya hanya kerana kidal, selain ibunya yang tidak mampu memahami kesukarannya.
Ketika berada di Paris, dia bekerja di dapur sebuah restoran Cina, dan menemukan kegembiraan melalui tugasan mudah.
Pada 2023, Zhao pulang ke China dan pada mulanya mengambil pekerjaan sebagai pelayan di sebuah festival bir tempatan serta di hotel.
Tahun lalu, dia tiba di Dali, Yunnan, dan membuat keputusan radikal untuk hidup di jalanan.
Dia menyara hidup dengan makan di restoran vegetarian percuma serta menggunakan kemudahan hotel untuk mencuci pakaian, membolehkannya hidup sederhana hanya dengan 100 yuan sebulan, manakala simpanan peribadinya berjumlah sekitar 2,500 yuan (RM1,477).
Walaupun pernah menuntut di institusi pendidikan berprestij, Zhao percaya ramai anak muda sering berasa hilang arah dan terumbang-ambing akibat persekitaran pendidikan yang toksik.
Sebagai tindak balas, dia melancarkan sebuah projek yang menawarkan pengalaman kerjaya untuk membantu kanak-kanak mencari minat sebenar mereka.
Zhao percaya meninggalkan cara hidup biasa dan memilih gaya hidup sederhana dengan kos rendah membuatkan dia lebih bahagia.
Namun, keputusan luar biasanya itu tetap mengundang pelbagai reaksi, ada yang menyokong dan ada yang mengkritik.