Safar menyampaikan hadiah kepada pasukan koir KKR.
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Negeri (KKR) dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan muncul johan dalam kategori masing-masing pada Pertandingan Koir Simfoni Integriti 2025 yang diadakan di Auditorium Menara Kinabalu, hari ini.
KKR menjuarai kategori kementerian selepas menewaskan sembilan pasukan lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi. Naib juara dimenangi Kementerian Kewangan Negeri dengan hadiah RM2,500 dan trofi, manakala tempat ketiga disandang Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri yang menerima hadiah RM2,000 serta trofi.

Safar menyampaikan hadiah kepada pasukan koir Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan.
Bagi kategori Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan muncul juara dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi. Jabatan Tanah dan Ukur Negeri meraih tempat kedua (RM2,500 dan trofi), manakala Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri berada di tempat ketiga (RM2,000 dan trofi).
Majlis penutupan pertandingan, yang diadakan bersempena Program Pelaksanaan Varsha Integriti 2025, disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.
Turut hadir barisan kepimpinan tertinggi pentadbiran negeri termasuk Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Mohd. Kassim dan Datuk Norlijah Danin; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Aidah Awang; serta Setiausaha Tetap kementerian-kementerian.