Kredit Foto: HUTAN-KINABATANGAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik pengiktirafan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) UNESCO, yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam komitmen Sabah terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti global.
Beliau berkata, penarafan itu dijangka menarik perhatian antarabangsa terhadap Kinabatangan, khususnya dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi, serta peluang kerjasama global.
“Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat dan mempertingkat kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan ini dapat direalisasikan secara mampan,” kata Hajiji dalam kenyataan hari ini.

Haji Hajiji Haji Noor
Ketua Menteri berkata, Jemaah Menteri Negeri telah meluluskan pencalonan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera pada 30 Mac 2022, manakala dokumen pencalonan itu secara rasmi diluluskan pada 7 Ogos 2024.
Proses pemilihan selama dua tahun (2022–2024) itu diterajui oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pemain industri dan komuniti setempat.
Dengan pengiktirafan ini, Kinabatangan menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah selepas Banjaran Crocker (diiktiraf UNESCO pada 12 Jun 2014), dan yang keempat di Malaysia.

Kredit Foto: HUTAN-KINABATANGAN
Secara global, kini terdapat 759 Rizab Biosfera di 136 negara. Pengiktirafan Kinabatangan telah diumumkan pada Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program MAB (ICC) pada 27 September di Hangzhou, China.
Penarafan itu diberikan selepas penilaian terhadap ekologi unik, kekayaan biodiversiti serta amalan pengurusan mampan di Kinabatangan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Jawatankuasa Penasihat MAB UNESCO yang menjalankan semakan awal turut memuji kualiti tinggi dokumen pencalonan, kejelasannya serta penglibatan meluas pihak berkepentingan melalui proses rundingan selama 22 bulan.
Meliputi kawasan seluas 413,866 hektar, Rizab Biosfera Kinabatangan merupakan hotspot biodiversiti dan khazanah budaya. Membentang sepanjang 560 kilometer di Sungai Kinabatangan, ia menyediakan habitat penting bagi 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia dan lebih 1,000 spesies tumbuhan vaskular.
Ia juga menjadi habitat kepada spesies jarang ditemui dan terancam seperti orang utan (Pongo pygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), monyet probosis (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus), harimau dahan (Neofelis diardi) dan lapan spesies enggang yang terdapat di Sabah.
Menariknya, pengiktirafan ini juga menyokong usaha memelihara dialek Sungai yang kini disenaraikan UNESCO melalui Atlas of the World’s Languages in Danger sebagai bahasa yang berada pada tahap Kritikal Terancam.