Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir telah dipanggil untuk disoal berhubung kes kecurian dompet oleh lima pelajar Tingkatan Empat.
Menurut Utusan Malaysia, saksi kanak-kanak kelima itu juga mengesahkan bahawa salah seorang daripada pelajar senior itu telah memarahi Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu, beberapa jam sebelum remaja itu ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri di aras bawah Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratu ‘Ayun, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Saksi itu turut mengesahkan keterangan dua lagi saksi kanak-kanak sebelum ini bahawa tiada mana-mana senior yang menyentuh Zara Qairina pada malam tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Azhier Farhan Arisin dalam sidang media selepas tamat prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-16, hari ini.
Azhier merupakan peguam yang mewakili empat pelajar yang didakwa mengeluarkan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Sementara itu, peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina memberitahu saksi kanak-kanak keenam memberitahu, dia mengesyaki punca Zara Qairina ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri adalah kerana remaja terbabit dituduh mencuri.
Menurut keterangan saksi, beberapa jam sebelum Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tersebut, remaja terbabit telah dipanggil ekoran dua kes kecurian dompet.
Saksi tersebut mengesahkan ada terdengar suara kuat seperti memarahi Zara Qairina namun tidak dapat memastikan indentiti individu tersebut.
Tambahnya, ketika kejadian, dia memilih untuk tidak masuk campur dengan situasi tersebut.
Peguam Datuk Ram Singh pula ketika ditemui menyatakan bahawa kedua-dua aksi yang memberi keterangan hari ini secara konsisten memberitahu bahawa sikap memaki antara satu sama lain dengan menggunakan perkataan-perkataan kesat adalah budaya biasa di asrama berkenaan.
Menurut peguam itu, saksi ada menyatakan bahawa pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga yang merupakan junior perlu melalui pengalaman tersebut kerana semua pelajar senior pernah menempuh suasana tersebut.
Esok merupakan hari terakhir sebelum Mahkamah Koroner berhenti bersidang selama seminggu dan prosiding akan bermula semula pada 7 Oktober ini.
Menurut Koroner Amir Shah Amir Hassan, inkues akan diteruskan setiap hari sehingga keputusan penuh dicapai.