KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah merekodkan 2.46 juta ketibaan dari Januari hingga Ogos 2025, meningkat 17.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 1,029,864 ketibaan antarabangsa dan 1,426,548 ketibaan domestik — bersamaan 70.2 peratus daripada sasaran 3.5 juta yang ditetapkan untuk 2025.
“Saya yakin kita akan mencapai sasaran itu menjelang 31 Disember. Resit pelancongan dianggarkan bernilai RM5.75 bilion, meningkat 17.7 peratus berbanding 2024,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkhidmatan baharu Bas Dua Tingkat Hop-On, Hop-Off di sini hari ini.

Sabah ketika ini dihubungkan dengan 14 destinasi antarabangsa menerusi 125 penerbangan mingguan yang menyediakan 22,732 tempat duduk, kata Liew.
Menurut Lembaga Pelancongan Sabah (STB), pasaran utama yang menunjukkan pertumbuhan dalam lapan bulan pertama tahun ini termasuk China, Jepun, Taiwan, Australia dan UK.
Menyifatkan perkhidmatan bas pelancongan itu sebagai produk baharu untuk Sabah, Liew berkata Kementerian serta STB memberi sokongan penuh terhadap inisiatif berkenaan.
Beliau mengimbau inspirasi daripada perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat di London ketika menghadiri World Travel Market (WTM) pada 2023, sambil mengucapkan tahniah kepada syarikat KK Hop-On, Hop-Off Sdn. Bhd. kerana berjaya merealisasikan konsep itu di Sabah.
“Perkhidmatan ini dijangka mendapat sambutan daripada pelancong antarabangsa dan domestik. Kita juga mungkin mempertimbangkan untuk memperluaskannya ke Taman Kinabalu, Kota Belud dan destinasi lain,” katanya sambil memuji Dewan Bandaraya Kota Kinabalu kerana mengekalkan kebersihan bandar untuk penduduk serta pelawat.
Pengerusi syarikat, Datuk Tan Kok Liang berkata, idea perkhidmatan itu dicetuskan oleh Liew dua tahun lalu dan menghadapi pelbagai cabaran bagi mendapatkan permit serta membina bas di Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Sabah.
Ketika ini, dua bas dua tingkat beroperasi dan syarikat merancang menambah sebuah lagi apabila infrastruktur serta aliran trafik semakin baik.