SHANGHAI: Dua remaja berusia 17 tahun bersama ibu bapa mereka diperintahkan membayar denda sebanyak 2.2 juta yuan (RM1.3 juta) selepas dirakam kencing ke dalam kuah hotpot di sebuah cawangan restoran terkenal, Haidilao, di Shanghai.
Menurut Utusan Malaysia, insiden menjijikkan itu berlaku di sebuah bilik makan peribadi apabila remaja yang dikenali sebagai Wu dan Tang berdiri di atas meja lalu membuang air kecil ke dalam hidangan. Lebih parah, salah seorang daripada mereka turut memuat naik rakaman video tersebut ke media sosial awal tahun ini.
Mahkamah Rakyat Daerah Huangpu memutuskan tindakan mereka dilakukan dengan sengaja meskipun menyedari kesan buruk yang bakal timbul. Susulan itu, kedua-dua remaja serta ibu bapa mereka diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka dan menanggung denda besar.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan pelanggan selepas video berkenaan tular. Pihak Haidilao segera memohon maaf, memusnahkan serta menggantikan semua peralatan berkaitan.
Mereka turut memulangkan lebih 4,000 pesanan makan di restoran yang terjejas, malah memberi pampasan tambahan sebanyak 10 kali ganda daripada harga dibayar pelanggan.
Dua syarikat katering yang dikaitkan dengan Haidilao kemudian memfailkan saman terhadap keluarga remaja tersebut pada Mac lalu, menuntut ganti rugi melebihi 23 juta yuan (RM13.6 juta) atas kerugian perniagaan, kerosakan reputasi serta kos lain.
Akhirnya, mahkamah memerintahkan ibu bapa remaja itu membayar 2.2 juta yuan (RM1.3 juta) serta menyiarkan permohonan maaf dalam akhbar kepada syarikat terlibat.
Majalah China Comment, penerbitan berpengaruh milik Parti Komunis dalam ulasannya menegaskan keputusan ini menjadi bukti bahawa ibu bapa bakal berdepan hukuman berat sekiranya gagal mengawasi anak-anak mereka.
“Perbuatan ini tidak lagi boleh dianggap gurauan remeh sebaliknya ia adalah penghinaan terhadap hak orang lain dan cabaran terbuka kepada norma sosial,” jelas editorial itu.
Kejadian berlaku ketika industri makanan luar di China masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik, di mana tabiat masyarakat untuk makan di restoran jauh merosot berbanding sedekad lalu.