Anthony Loke Siew Fook
GOMBAK: Pemilik kenderaan komersial yang dikesan tidak melengkapkan pemasangan Peranti Had Laju (SLD) akan diberi notis untuk hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh 10 hari bersama bukti pemasangan bermula 1 Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah penguatkuasaan itu melibatkan kira-kira 100,000 kenderaan di seluruh negara yang dikenal pasti dalam fasa pertama pelaksanaan.
“Mulai 1 Oktober, kita akan hentikan kenderaan dan periksa. Jika mereka tidak mempunyai pengesahan SLD, notis akan dikeluarkan dan pemilik perlu hadir ke JPJ dalam tempoh 10 hari untuk mengemukakan bukti pemasangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (TBG) hari ini.
Menurut data terkini JPJ, hanya 2,915 atau 2.68 peratus daripada 108,805 kenderaan komersial dikenal pasti telah mengesahkan pemasangan SLD setakat ini.
Bagaimanapun, Siew Fook berkata, pemasangan peranti itu tidak dijadikan syarat wajib pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) kerana ia boleh menjejaskan kelancaran rantaian bekalan sekiranya hampir 100,000 kenderaan gagal beroperasi.
“Jika kita buat begitu, industri akan membantah dan logistik negara akan terjejas. Justeru, kita ambil pendekatan penguatkuasaan berperingkat,” katanya
Dalam perkembangan lain, Siew Fook yakin penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) tidak akan terjejas meskipun terdapat persoalan mengenai kadar tambang rendah yang dikekalkan kerajaan melalui pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Beliau berkata, majoriti pengguna LRT terdiri daripada golongan yang tidak memiliki kenderaan sendiri atau pekerja yang berulang-alik setiap hari, justeru faktor harga bukan penentu utama kepada jumlah penumpang.
“Saya tidak menjangkakan perubahan ketara dari segi jumlah pengguna kerana mereka yang telah menggunakan LRT akan terus menggunakannya memandangkan kosnya masih rendah terutama dengan pelaksanaan pas bulanan My50 sejak Mei lalu.
“Oleh itu, saya tidak terlalu bimbang harga rendah akan menjejaskan jumlah pengguna. Walau bagaimanapun, kita akan terus memantau data,” katanya.
Mengulas pandangan tambang terlalu rendah boleh menjejaskan usaha menggalakkan penggunaan LRT, Siew Fook berkata, kadar berkenaan merupakan subsidi bersasar yang wajar dikekalkan.
“Tambang LRT yang rendah adalah bentuk subsidi. Namun Malaysia tidak boleh dilihat hanya dari perspektif Lembah Klang kerana terdapat 13 negeri lain.
“Ia termasuk kawasan separa bandar dan luar bandar yang masih bergantung kepada kenderaan persendirian berikutan perkhidmatan pengangkutan awam yang belum menyeluruh,” katanya.