Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib mewakili Ketua Menteri merasmikan upacara pecah tanah projek pembinaan Dewan Anak Merotai di sini, hari ini. Beliau diiringi oleh Liew (tengah).
MEROTAI: Kelulusan beberapa projek pembangunan di kawasan Merotai membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan kebajikan rakyat luar bandar terus diberi perhatian.
Presiden Prati Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, kawasan Merotai yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kini semakin membangun hasil kelulusan beberapa projek penting.
Menurutnya, antara projek yang telah diluluskan ialah pemasangan lampu jalan LED solar bernilai RM2.9 juta, selain kelulusan awal RM2 juta bagi pembinaan Dewan Anak Merotai.
“Kos sebenar pembinaan dewan ini dianggarkan RM3.5 juta.
“Namun, kelulusan awal ini membuktikan komitmen Kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, untuk membangunkan kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Dewan Anak Merotai di sini, hari ini.
Liew yang juga Naib Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan, pembangunan yang dilaksanakan kerajaan GRS bukan sekadar janji politik seperti sebelum ini.
“Sudah lebih 80 tahun Merotai menanti perubahan. Hari ini rakyat sendiri menyaksikan usaha kerajaan dalam membawa pembangunan ke kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 untuk membina Tapak Tamu Merotai bagi merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Katanya, usaha membangunkan infrastruktur luar bandar bukan sahaja memberi keselesaan, malah membuka peluang perniagaan kepada golongan usahawan kecil.
“Ini bukti bahawa kerajaan tidak hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal, tetapi turut memberi fokus kepada aspek ekonomi rakyat,” jelasnya.
Liew turut menyeru generasi muda Merotai supaya bersedia menjadi pemimpin pada masa hadapan serta tidak terlalu bergantung kepada orang luar.
“Sudah tiba masa anak jati Merotai sendiri bangkit dan membawa suara kampung ke peringkat lebih tinggi,” katanya.