PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan melaksanakan ujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) esok di dua lokasi sekitar daerah Papar, Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, ujian tersebut akan dijalankan pada Isnin, 29 September 2025 di dua masjid utama kawasan itu.
“Dua lokasi itu membabitkan Masjid Raudhatul Ilmiyah, Kampung Kuala, Papar pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan Masjid Puncak Taqwa, Kinarut pada pukul 2 petang hingga 4 petang,” katanya.
MetMalaysia menasihati penduduk sekitar agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia hanyalah ujian berkala untuk memastikan sistem berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan sebenar.
“Orang ramai tidak perlu bimbang atau cemas kerana bunyi siren itu adalah sebahagian daripada ujian. Sebarang perubahan lokasi atau masa ujian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.