Anggota penyelamat melepaskankan udang galah digelar aneh Jean-Clawed Van Damme di kawasan perairan Long Island Sound, AS.
NEW YORK: Seekor udang galah aneh berwarna oren terang yang jarang ditemui dilepaskan semula ke habitat asalnya minggu ini selepas ditemui oleh seorang pengunjung sebuah pasar raya berhampiran utara New York.
Menurut Utusan Malaysia, kumpulan penyelamat hidupan liar Humane Long Island dan Akuarium New York yang membantu dalam proses pelepasan itu memaklumkan, udang galah berkenaan, yang segera digelar ‘Jean-Clawed Van Damme’, dikatakan hanya muncul sekali dalam 30 juta tangkapan.
Kebiasaannya, udang galah berwarna oren hanya dapat dilihat apabila sudah mati, direbus dan sedia untuk dihidangkan.
Namun, seorang pembeli, Kyle Brancato, terkejut apabila ternampak lobster tersebut masih hidup di dalam tangki jualan di sebuah pasar raya Tops.
“Saya lalu di depan tangki udang galah, tiba-tiba nampak seekor berwarna oren terang, sangat berbeza dengan yang lain,” katanya kepada stesen WHAM.
Brancato percaya ramai pembeli lain menyangka udang galah itu berpenyakit dan tidak mahu membelinya, menyebabkan dia membuat keputusan membeli binatang tersebut dengan hasrat untuk membebaskannya.
Tanpa pengalaman menjaga haiwan laut itu, Brancato segera mendapatkan bantuan sementara dengan mengambil sedikit air tangki dari sebuah restoran berdekatan, sebelum membeli akuarium 20 gelen serta air laut khas daripada sebuah kedai haiwan peliharaan.
Selepas dijaga sementara waktu, udang galah itu akhirnya dilepaskan ke laut bebas di Long Island Sound pada Rabu lalu, sehari sebelum sambutan Hari Udang Galah Sedunia yang menandakan kemuncak musim tangkapan di AS.
Dalam tempoh sama, ribuan lagi udang galah lain tidak bernasib baik kerana berakhir di periuk rebusan sebelum dihidangkan bersama mentega di restoran sekitar.
Kes penemuan udang galah oren ini bukanlah kali pertama di mana pada 2021, sepasang suami isteri di Kanada turut menyelamatkan seekor udang galah oren daripada sebuah pasar raya di Ontario sebelum ia dipindahkan ke sebuah akuarium.