PETALING JAYA: Lebih RM2.6 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, direkodkan pada hari pertama pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan berkata, jumlah tersebut melibatkan pembelian kira-kira 1.3 juta liter petrol oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang merupakan kumpulan pertama menikmati inisiatif berkenaan.
“Berdasarkan laporan di lapangan, urusan BUDI95 berjalan lancar dengan sistem stabil dan pembacaan MyKad oleh terminal di stesen minyak beroperasi dengan baik.
“Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada semua anggota ATM dan PDRM yang menjadi kumpulan terawal memanfaatkan BUDI95,” katanya dalam kenyataan.
Bermula hari ini, BUDI95 akan diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, sebelum pelaksanaannya dilaksanakan sepenuhnya pada 30 Sept, melibatkan sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lepas, sebanyak 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan untuk menerima subsidi RON95.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595.