Jahid bersama tetamu lain menyaksikan persembahan tarian oleh murid-murid Tahun Enam.
TENGHILAN, TAMPARULI: Hari Keluarga wajar dijadikan simbol kasih sayang dan kebersamaan antara ibu bapa, anak-anak, guru, kakitangan sekolah serta masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Jahid Jahim berkata, program seumpama itu membawa makna besar dalam menyatupadukan institusi sekolah dengan ibu bapa dan komuniti.
“Program Hari Keluarga bukan sekadar aktiviti riadah atau hiburan, tetapi wadah yang dapat mengeratkan hubungan seluruh warga sekolah bersama masyarakat,” katanya ketika merasmikan Hari Keluarga SJK (C) Chung Hwa Tenghilan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) SJK (C) Chung Hwa Tenghilan, Johnson Wong serta Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah, Sylvia Desmond Lee.
Menurut Jahid, apabila kasih sayang dijadikan asas hubungan, maka lahirlah masyarakat yang lebih bersatu padu, saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat bagi memastikan kecemerlangan sekolah.
Katanya, pendidikan bukan sahaja berkisar kepada pencapaian akademik, tetapi juga pembinaan sahsiah pelajar agar menjadi insan yang seimbang.
Dalam ucapannya, beliau turut berpesan kepada para pelajar agar berusaha gigih menuntut ilmu.
“Belajarlah bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam pelajaran kelak dan mampu menaikkan nama sekolah. Kejayaan bukan sahaja memberi kebanggaan kepada diri sendiri dan keluarga, malah juga kepada sekolah, guru serta masyarakat,” tambahnya.
Sementara itu, Guru Besar SJK (C) Chung Hwa Tenghilan, Chong Chi Tart, berkata program berkenaan bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan selain memberi ruang kepada warga sekolah untuk menjalin hubungan lebih erat.
Hari Keluarga SJK (C) Chung Hwa diisi dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan pentas, cabutan tiket bertuah serta acara kekeluargaan sukaneka yang melibatkan murid, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Acara tersebut mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar Tenghilan, dengan lebih 10 gerai jualan makanan dan minuman, kraftangan, mini fun fair, selain perkhidmatan spa dan refleksologi.