Masiung dan Hiew mendengar taklimat semasa lawatan tersebut.
SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan keyakinan bahawa parti itu mempunyai potensi besar untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah berkata, berdasarkan tinjauan dan siri lawatan ke kawasan berkenaan, Gagasan Rakyat menerima sokongan yang memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
“Maklum balas daripada tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekong menunjukkan Gagasan Rakyat mendapat sambutan baik. Sokongan ini memberi gambaran positif terhadap peluang GRS di kawasan berkenaan,” katanya ketika melawat Pejabat Gagasan Rakyat Sekong, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut dan Pengerusi Zon 10 Sandakan berkata, parti pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu kini dilihat semakin mendapat tempat di kalangan penduduk pelbagai lapisan.
Turut hadir ialah ADUN Karamunting, Datuk George Hiew yang juga Timbalan Pengerusi Zon 10 Gagasan Rakyat.
Sementara itu, Hiew berkata, dengan kekuatan lebih 300 cawangan yang ada, Gagasan Rakyat mempunyai keupayaan untuk memperkukuh kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sekong.
“Kewujudan parti-parti lain dalam gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH) juga boleh membantu menambah pengaruh Gagasan Rakyat di kawasan ini,” katanya.
Kedua-dua pemimpin itu menyatakan keyakinan bahawa kerusi DUN Sekong yang kini disandang pembangkang boleh ditawan sekiranya GRS memberi laluan kepada Gagasan Rakyat untuk bertanding.