Seramai 199 individu terdiri 196 warga asing dan tiga warga tempatan yang disyaki majikan dipercayai menggajikan PATI di restoran serta kedai makan ditahan.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga asing bertindak berpura-pura pengsan hanya untuk meraih simpati supaya tidak ditahan ketika operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, pada operasi bermula 9.30 malam tersebut, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan setelah pemeriksaan dijalankan mendapati pasport miliknya telah tamat tempoh.
Ketika ditahan wanita ini kemudian bertindak meraung sebelum berpura-pura pengsan untuk menarik perhatian pegawai imigresen bertugas.
Wanita itu bagaimanapun tiba-tiba bangun sebaik sahaja pegawai imigresen bertugas memberikan rawatan kecemasan terhadapnya.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan di lokasi dibuat hasil risikan selepas mendapati kawasan yang dikenali sebagai ‘Little Pakistan’ itu menjadi tumpuan warga asing khususnya dari Asia selatan yang bekerja serta menyewa sekitar premis di kawasan berkenaan
“Kita melakukan pemeriksaan terhadap 45 premis merangkumi kedai runcit, restoran, kedai serbaneka dan pelbagai premis perniagaan lain.
“Seramai 400 individu terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh, India, Jordan, Nepal, Filipina dan Sri Lanka serta warga tempatan telah diperiksa,” katanya dalam sidang akhbar.
Wan Mohammed Saupee berkata, daripada jumlah diperiksa, seramai 199 individu terdiri 196 warga asing dan tiga warga tempatan yang disyaki majikan dipercayai menggajikan PATI di restoran serta kedai makan ditahan.
Menurutnya, kesemua individu ditahan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Antara kesalahan dikesan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963, Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55B Akta Imigresen,” katanya.