WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang mengesahkan penjualan operasi TikTok di negara itu kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Menurut Utusan Malaysia, langkah tersebut diambil bagi memenuhi keperluan keselamatan negara seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang 2024.
Perintah itu menyatakan entiti baharu yang bakal menguruskan TikTok akan dimiliki dan dikawal majoritinya oleh syarikat-syarikat berpangkalan di AS.
Syarikat induk TikTok dari China, ByteDance, serta mana-mana entiti berkaitannya, hanya dibenarkan memegang kurang daripada 20 peratus kepentingan dalam usaha sama berkenaan.
Menurut Naib Presiden JD Vance, nilai entiti baharu itu dianggarkan sekitar AS$14 bilion (RM59 bilion) sekali gus mendedahkan buat pertama kali nilai rasmi aplikasi video pendek popular itu diumumkan kepada umum.
Sebelum ini, Trump menangguhkan penguatkuasaan undang-undang yang melarang penggunaan TikTok sekiranya ia tidak dijual kepada pihak AS, dengan tarikh akhir diberikan sehingga 16 Disember.
Penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada proses pengambilalihan aset TikTok di Amerika, pencarian pelabur baharu, serta mendapatkan kelulusan pihak berkuasa China.
“Perjanjian ini turut merangkumi pemantauan ketat terhadap kemas kini perisian, algoritma, serta aliran data,” menurut kandungan perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.
Trump turut memaklumkan beliau berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping, berhubung penjualan tersebut.