Mangsa-mangsa yang selamat dalam kejadian perahu karam di Sungai Krian petang semalam.
SARATOK: Enam lelaki selamat manakala empat lagi hilang selepas perahu dinaiki mereka karam di Sungai Krian, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang semalam, ketika semua mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan dalam perjalanan pulang kerja.
“Semasa dalam perjalanan menyeberangi Sungai Krian dari Jeti Sesang ke Jeti Pusa, perahu yang dinaiki mereka telah karam di tengah sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata enam orang mangsa yang kesemuanya warga Indonesia berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut di tepi tongkang dan diselamatkan menggunakan bot lain.
Manakala, katanya empat mangsa yang yang terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 25 tahun serta tiga warga Indonesia berusia 35, 41 dan 50 tahun didapati hilang dan belum dijumpai.
Katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dimulakan pagi tadi namun setakat ini, tiada mangsa ditemukan.