KENINGAU: Kejohanan BMBR Chess Championship yang berlangsung sempena Karnival Sukan BMBR 2025 di Dewan Sekolah Kebangsaan Bingkor di sini hari ini berjaya mencuri perhatian dengan penyertaan seramai 66 peserta dari pelbagai daerah di Sabah.
Pertandingan yang dianjurkan Sekretariat BMBR dengan kerjasama Keningau Chess Club itu menampilkan dua kategori iaitu dewasa dan kanak-kanak bawah 12 tahun, sekali gus menjadikan kejohanan ini medan pertemuan bakat-bakat catur dari seluruh negeri.
Menurut penganjur, objektif kejohanan ini bukan sahaja untuk mencungkil bakat baharu dalam arena sukan catur, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta menyemarakkan semangat kesukanan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pemuda GRS Keningau merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Sukan BMBR, Rafie Robert.
“Penganjuran sukan seperti ini membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikal, tetapi juga ketajaman minda,” katanya.
Karnival Sukan BMBR 2025 terus menampilkan pelbagai acara merangkumi aspek fizikal dan intelektual yang mampu menarik penyertaan semua lapisan masyarakat. Penganjuran ini sekali gus memperkukuh peranan BMBR sebagai penggerak pembangunan sosial, belia dan komuniti di daerah Keningau.