TUARAN: Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dikehendaki kerana terbabit dalam beberapa kes siasatan selepas tular rakaman kejadian itu di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, 25 September, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah berjaya mengesan kenderaan dinaiki suspek di kawasan Plaza CKS, Tuaran.
“Pasukan serbuan bertindak menghampiri kenderaan suspek dan mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu. Polis memperkenalkan diri serta menunjukkan kuasa sebelum suspek bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan dan melanggar kenderaan pasukan polis beberapa kali bagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat tindakan itu, pasukan polis terpaksa memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan untuk melaksanakan tangkapan.
“Semasa proses itu berlaku pergelutan antara suspek dan pasukan serbuan. Polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi memastikan tangkapan berjaya dilaksanakan. Tiada sebarang tembakan dilepaskan sepanjang operasi,” katanya.
Noraidin menasihati orang ramai supaya tidak panik atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
Beliau turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah agar segera menghubungi Hotline Polis di talian 088-794313 atau mana-mana balai polis berhampiran.