Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Penjawat awam adalah aset utama Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar yang digubal serta menterjemahkannya kepada tindakan konkrit demi kejayaan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan tanpa sokongan, komitmen dan kecekapan warga perkhidmatan awam, segala perancangan kerajaan termasuk pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak akan dapat dicapai dengan berkesan.
“Saya percaya segala perancangan SMJ akan terlaksana dengan jayanya dengan bantuan para penjawat awam yang sihat, cergas dan cerdas. Mereka adalah aset utama Kerajaan Negeri yang memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Muhibbah Jabatan Ketua Menteri (JKM) Ke-14 Tahun 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, penganjuran Pesta Sukan Muhibbah bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform membina semangat kekitaan, disiplin serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan penjawat awam.
“Nilai persahabatan dan semangat muhibbah yang terjalin lebih penting daripada sekadar mengejar kemenangan. Sukan menjadi jambatan penyatuan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru warga perkhidmatan awam khususnya jabatan dan agensi di bawah Jabatan Ketua Menteri agar terus bersama-sama menyokong dan berkongsi usaha-usaha Kerajaan Negeri yang telah, sedang dan akan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pesta yang berlangsung sejak 19 September lalu menyaksikan penyertaan tujuh pasukan iaitu JKM Perdana, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Sawit Kinabalu, Yayasan Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Sebanyak 15 acara utama dipertandingkan selain lima acara baharu iaitu esukan, petanque, catur, karom dan dart, sekali gus menyerlahkan semangat juang serta bakat sukan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.