Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kelmarin.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada rakyat dan pilihan raya yang akan datang.
Dr. Jeffrey berada di pejabat SPRM Kota Kinabalu selama lima jam setengah, bermula jam 5.30 petang hingga 11 malam.
Menurut Setiausaha Politiknya, Anuar Ghani, beliau memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat dan telah selesai memberi keterangan.
“Marilah kita kini fokus kepada rakyat dan pilihan raya (PRN),” kata Dr. Jeffrey selepas keluar dari pejabat SPRM.
Anuar yang juga Ketua Penerangan STAR, menyeru orang ramai supaya membiarkan proses siasatan berjalan tanpa sebarang gangguan serta menunggu hasilnya. Beliau turut mengingatkan agar tidak membuat spekulasi dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
“Dalam situasi ini, adalah penting kita tidak terlepas pandang isu-isu besar yang sedang dihadapi Sabah – seperti menuntut hak 40 peratus hasil negeri, hak wilayah terhadap minyak dan gas, mitigasi banjir, perubahan iklim, keselamatan makanan serta pelbagai isu sosial mendesak lain.
“Semua perkara ini memerlukan fokus bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Anuar turut melahirkan kebimbangan bahawa keadaan semasa mungkin dimanipulasi untuk menjejaskan reputasi serta kredibiliti kepimpinan Sabah, khususnya mereka yang sejak dahulu tegas menolak dominasi dari Semenanjung Malaysia.
“Jika imej dan kedudukan kepimpinan Sabah tercalar, ada risiko rakyat Sabah mencari kononnya kepimpinan yang ‘lebih baik dan bersih’ dari luar negeri ini, sekali gus membuka ruang kepada parti-parti Malaya untuk meraih pengaruh dan menguasai urusan Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keputusan mengenai siapa yang harus mentadbir Sabah mesti kekal di tangan rakyat negeri ini.
“Akhirnya, hanya rakyat Sabah yang berhak menentukan kepimpinan masa depan mereka. Pilihan itu milik mereka. Biarlah peti undi yang menentukan,” katanya.