Liew bergambar bersama penerima bantuan ke IPT.
TAWAU: Seramai 33 pelajar dari kawasan Merotai menerima sumbangan peribadi daripada Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
Ini merupakan sebagai tanda sokongan terhadap kejayaan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan kolej.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut disampaikan Naib Presiden PHRS, Datuk Lim Yin Kat dalam satu program ringkas yang diadakan di sini semalam.
Liew berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga pelajar dalam membuat persiapan ke IPT.
“Ini adalah sebagai dorongan untuk mereka terus cemerlang dalam bidang akademik.
“Saya amat bangga dengan pencapaian anak-anak Merotai ini. Ini membuktikan bahawa dengan usaha dan semangat yang tinggi, kejayaan pasti dapat dicapai.
“Pesan saya, apabila berjaya nanti, pulanglah ke Merotai dan berbaktilah kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pelajar sentiasa menjaga nama baik keluarga dan kampung halaman sepanjang tempoh pengajian.
Sementara itu, Lim berkata, sumbangan ini dilihat meringkan sedikit bebanan ibu bapa dan pelajar yang menerimanya.
“Kita harap sumbangan ini mampu menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya.
“Program seumpama ini merupakan antara inisiatif berterusan PHRS dalam menyantuni golongan muda dan menyokong pembangunan pendidikan di kawasan Merotai,” katanya.