Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor (tengah), Timbalan Ketua Menteri Sabah III yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya (dua dari kiri) bersama Yussof kiri) mencuba air dihasilkan Mesin Penapisan Nano.
KOTA KINABALU: Jetama Sdn. Bhd menyokong usaha kerajaan negeri memastikan penduduk luar bandar menikmati bekalan air bersih melalui pemasangan Sistem Penapisan Nano berteknologi solar.
Pengerusinya, Datuk Yussof Abd Manan berkata sistem berkenaan mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 3,000 orang sehari sehingga 5,000 orang.
“Mesin ini berfungsi seperti penapis air di rumah tetapi dalam skala lebih besar.
“Air bawah tanah dipam ke tangki sebelum ditapis dan disalurkan terus kepada penduduk,” katanya pada Majlis Penyempurnaan Sistem Penapisan Nano di Kampung Baru-Baru, Tuaran, pada Rabu.
Menurut beliau, penggunaan tenaga solar menjadi kelebihan sistem itu kerana membolehkan penduduk luar bandar menikmati bekalan air bersih tanpa terbeban dengan kos elektrik.
“Penduduk tidak perlu risau soal bayaran kerana mesin ini dijana sepenuhnya dengan tenaga solar,” jelasnya.
Beliau berkata, projek berkenaan diharap dapat membantu menangani isu air yang membelenggu penduduk luar bandar.
“Projek pertama siap pada Ogos lalu di Pulau Berhala, Sandakan, dan lapan lagi lokasi sudah dikenal pasti untuk dilaksanakan,” ujarnya.