DALLAS: Seorang tahanan maut manakala dua lagi parah selepas penembak tepat melepaskan tembakan di atas bumbung berhampiran sebuah pusat Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di Dallas, Texas, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, suspek yang dikenal pasti sebagai Joshua Jahn, 29, melepaskan tembakan rambang ke arah bangunan ICE dan sebuah van tidak berlabel sebelum menembak diri sendiri.
Tiada anggota penguat kuasa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), tiga tahanan terkena tembakan dengan seorang disahkan maut, manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal.
Seorang daripada mangsa adalah warga Mexico, kata Kementerian Luar negara itu.
Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel dalam hantaran di platform X berkongsi gambar peluru yang tidak digunakan, termasuk kelongsong bertulis ‘anti-ICE’ ditemukan di lokasi kejadian.
“Semakan awal mendapati serangan ini mempunyai motif ideologi. Serangan bersifat politik seperti ini bukan perkara terpencil,” kata Patel.
Sementara itu, Pemangku Pengarah ICE, Todd Lyons mengesahkan identiti suspek dan memaklumkan siasatan awal mendapati dia melepaskan tembakan dari sebuah bangunan bersebelahan.
Media tempatan melaporkan, bangunan itu adalah pejabat lapangan ICE yang digunakan bagi pemprosesan sementara tahanan baharu, bukannya pusat penahanan.
Dalam sidang media, Pengarah ICE Dallas, Joshua Johnson menegaskan ini adalah kali kedua beliau terpaksa berdepan serangan bersenjata di pusat berkenaan.
“Kesimpulannya, retorik kebencian ini mesti dihentikan,” katanya.
Ahli politik kedua-dua parti turut mengecam insiden tersebut.
Senator Texas, Ted Cruz menyifatkan serangan itu sebagai keganasan bermotifkan politik, manakala Senator Demokrat, Cory Booker menegaskan penggambaran negatif terhadap mana-mana kumpulan boleh menjadikan mereka sasaran serangan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula mendakwa pegawai ICE kini berdepan ancaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini sambil menuduh Demokrat berhaluan kiri radikal kerap mendemonisasi pasukan penguat kuasa undang-undang.