Dr. Joachim (kelima dari kanan), Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong (kelima dari kiri) bersama tetamu lain dalam upacara memotong kek.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus komited untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dengan China, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kami komited untuk menyelaraskan strategi pembangunan, mengenal pasti peluang baharu serta memperluas kerjasama dalam bidang-bidang baharu.
“Kami bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu dan semua pihak berkepentingan di Sabah bagi terus memperkukuh persahabatan lama ini serta menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi masa depan Sabah–China dan Malaysia–China,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-76 Penubuhan Republik Rakyat China di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Khamis. Ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri berkata Sabah, dengan kepelbagaian budaya dan keharmonian sosialnya, amat menghargai persahabatan yang terjalin erat dengan rakyat China.
“Kami bersedia memainkan peranan unik dalam memajukan hubungan Malaysia–China serta menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi masa depan China–Malaysia,” tambahnya.
Hajiji berkata hubungan Malaysia–China kini telah mencapai tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Merujuk kepada perkembangan terkini, Hajiji berkata lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu dan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai mencerminkan kekuatan kerjasama tersebut.
“Perdana Menteri kita telah mengulangi komitmen Malaysia untuk memperdalamkan kerjasama dengan China yang membawa manfaat nyata kepada kedua-dua negara. Hubungan rapat di peringkat tertinggi ini juga telah memberikan momentum baharu kepada hubungan dan kerjasama Sabah–China,” katanya.
Hajiji turut menekankan bahawa China kini merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia dan juga Sabah.
“Kerjasama Sabah–China merangkumi pelbagai sektor, yang bukan sahaja menumpukan kepada bidang ekonomi tetapi turut mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua pihak. Kerjasama ini meliputi bidang pertanian dan perikanan, tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas, infrastruktur, perdagangan, pembuatan, pelancongan, pendidikan serta pertukaran budaya — yang memberikan manfaat nyata kepada kedua-dua belah pihak.
“Marilah kita memperdalamkan lagi kerjasama ini agar bersama-sama kita dapat menyumbang kepada hubungan Malaysia–China yang lebih kukuh dan sebuah rantau yang stabil serta makmur. Bersama-sama, kita membina kepercayaan, berkongsi kemajuan dan membentuk masa depan,” katanya.